Tuesday, June 26, 2007

KOREA

Pada 28 haribulan Mei 2007, hampir 120 orang pelajar dan cikgu dari Program Bersepadu Victoria berangkat ke Korea Selatan dari Singapura dan akan berada di sana selama lapan hari. Kami ke sana untuk mempelajari tentang budaya Korea dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Kami berangkat ke Korea pada pukul 10.30 malam dan menaiki Korean Airlines.

HARI PERTAMA - 290507
Kami tiba di lapangan terbang di Korea, iaitu Lapangan Terbang Incheon-Korea pada hampir pukul 7. Dari lapangan terbang itu, kami terus menaiki bas untuk ke lima tempat di Seoul yang bersejarah iaitu Deok Su Gung Palace, Blue House, Pasar Dong Dae Mun, Tugu Peperangan Korea dan Pusat Membeli-belah Doota.


Blue House



Deok Su Gung Palace




Tugu Peperangan Korea

Setelah kelima-lima tempat itu, kami ke bangunan syarikat LG. Di dalam bangunan itu terletak sebuah dewan yang saya amat gemari. Dewan itu amat canggih dan ia berada di situ khas untuk memberitahu orang awam tentang cara-cara yang digunakan oleh syarikat itu dan kemajuan LG dari segi teknologi.
Setelah itu, kami ke hotel yang bernama Sofitel Ambassador hotel, Seoul yang berdekatan dengan Universiti Dongguk. Bilik-bilik hotel itu agak besar dan sangat selesa.


HARI KEDUA - 300507

Pada hari kedua, para pelajar Muslim dan vegetarian ke restoran Dunkin Donuts untuk bersarapan. Donat-donat di situ amat lazat sekali. Setelah puas makan donat, kami ke Cheong Gye Cheon, sebuah sungai semula jadi yang terletak di hati bandar Seoul. Saya mendapati bahawa ramai pelancong berada di situ. Agaknya, sungai ini mempunyai banyak sejarah.

Setelah itu, kami ke Korean Minjuk Leadership Academy, sebuah sekolah yang terletak di Gangwondo. Sekolah itu sangat besar dan ia dibina oleh seorang pemilik kilang susu. Dia menggunakan untung-untung yang dia dapat melalui kerjayanya untuk perbelanjaan sekolah itu. Juga, murid-murid di sekolah itu tidak dikehendaki membayar yuran sekolah. Setiap murid VIP diberi peluang untuk berbual mesra dengan murid-murid KMLA yang membawa kami berjalan-jalan di sekolah mereka. Saya agak terkejut kerana mereka amat fasih berbual dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan murid di sana juga peramah dan selalu senyum apabila mereka berbual bersama kami. Saya telah mempelajari banyak tentang budaya murid-murid di Korea melalui berbual dengan murid-murid KMLA.
Setelah itu, kami ke sebuah restoran. Di restoran, para pelajar VIP diajar memasak dan menyediakan beberapa makanan Korea. Setelah makan, tiba-tiba, empat orang cikgu membawa empat kek dari dapur restoran itu. Kami agak terkejut kerana tidak tahu mengapa cikgu-cikgu kami membawa kek-kek itu. Tiba-tiba, Puan Toh memberitahu kami semua bahawa kek-kek itu telah dibeli untuk empat orang pelajar dan seorang cikgu yang menyambut hari lahir mereka semasa berada di Korea. Empat pelajar itu adalah saya, Lavan, Leslie dan Yuhan, dan cikgu itu adalah Puan Jay. Saya amat gembira kerana dapat memotong kek.
Selepas itu, kami semua ke Phoenix Park Ski Resort untuk menetap di sana.

HARI KETIGA - 310507
Pada hari ketiga di Korea, kami ke 'National Pyeong Chang Youth Centre', atau Pusat Belia Pyeong Chang Kebangsaan. Pada pendapat saya, pusat itu adalah antara yang paling saya gemari di Korea. Di pusat itu, kami mempelajari banyak tentang budaya belia Korea. Kami juga belajar memain alat muzik tradisional Korea.
Selepas itu, kami diberi sejam untuk berehat. Sedang saya dan beberapa rakan saya berjalan berdekatan padang bola sepak pusat itu, kami terjumpa sebutir bola lalu kami bermain bola sepak di situ. Tiba-tiba, antara sepuluh dan lima belas belia Korean menghampiri kami. Mereka bertanya bahawa jika mereka boleh bermain bola sepak bersama kami. Kami pun bermain dengan mereka. Pada akhir perlawanan itu, kami menang tetapi itu tidak penting. Yang penting adalah kami, murid-murid dari Singapura, telah membuat kawan-kawan yang baru dalam bentuk belia dari Korea. Gambar di bawah menunjuk para pelajar dari Singapura dan Korea yang bermain.

Kami berada di pusat itu sehingga malam dan melakukan berbagai-bagai aktiviti. Setelah itu, kami pulang ke Phoenix Park Ski Resort untuk berehat.
HARI KEEMPAT - 010607
Pada hari keempat, kami berangkat ke Daejeon dan ke Muzium Sains Kebangsaan. Muzium itu agak seronok kerana terdapat berbagai pameran yang saya sukai seperti bilik senget dan sebagainya.

Kami ke 'Hanbat Museum of Education', atau Muzium Pendidikan Hanbat selepas itu. Pada pendapat saya, muzium itu agak membosankan. Pameran-pameran di situ sangat tidak seronok kerana benda-benda seperti alat tulis, buku-buku teks lama dan kelas pada zaman dahulu dipamerkan dan saya tidak begitu suka muzium itu.




HARI KELIMA - 020607

Pada hari kelima, kami ke Daejeon Expo Park. Menurut cikgu-cikgu kami, taman itu amat besar dan disukai oleh ramai lalu para pelajar VIP semua mahu ke tempat itu tetapi apabila kami berada di taman itu, ia sangat mengecewakan kerana kebanyakan pameran dalam taman itu tutup dan hanya buka pada petang hari. Walaubagaimanapun, kami tetap ke pameran-pameran yang buka.
Selepas itu, kami ke sebuah kampung yang berdekatan Seoul yang bernama 'Korean Folk Village'. Di kampung itu, para pengunjung dapat menyaksikan pelbagai persembahan oleh orang kampung itu.
Kami pun ke Seoul Palace Hotel untuk menetap di situ. Hotel itu adalah hotel terakhir kami.
HARI KEENAM - 030607
Kami ke 'Demilitarised Zone' (DMZ). DMZ ini adalah satu-satunya di dunia. Tidak seorang pun yang dibenarkan memijak tanah dalam DMZ ini supaya keamanan antara Korea Utara dan Selatan dapat dilestarikan. Saya rasa amat sedih apabila berada di DMZ kerana saya terdengar banyak kisah tentang keluarga yang terpaksa dipisahkan oleh kerana sebuah garisan yang membahagikan Korea kepada dua bahagian, Utara dan Selatan.
Selepas itu, kami ke stesen Korail dan Kampung Namsangol Hanok tetapi saya berpendapat bahawa kedua-dua tempat ini amat membosankan. Saya meluangkan kebanyakan masa saya dengan memakan aiskrim yang sangat sedap !

HARI KETUJUH - 040607
Pada hari ketujuh, saya bangun dari tidur dan tersedar bahawa beberapa rakan rapat saya berada di dalam bilik saya. Apabila mereka sedar bahawa saya telah bangun, mereka memekik "HAPPY BIRTHDAY ASYRAF!" Baru sahaja saya sedar bahawa hari itu adalah 4 Jun, hari lahir saya. Saya amat gembira kerana kawan-kawan saya tidak terlupa tentang hari lahir saya. Mereka memberi saya kek, baju, jam dan sebagainya. Saya amat tersentuh dengan perbuatan mereka itu.

Kami ke Seoul Land dan Taman Haiwan di Taman Permainan Seoul Grand Park. Saya berasa bahawa ini antara tempat yang paling saya sukai semasa berada di Korea. Di Seoul Land, kami dapat menaiki beberapa permainan seperti 'Rollercoaster' dan kapal Viking. Di Taman Haiwan, ia seperti taman haiwan di Singapura tetapi lebih besar dan lebih menyeronokkan.
Kami ke Muzium Seni selepas itu sebagai persediaan untuk projek LA kami. Tempat ini juga agak bosan.



HARI KELAPAN - 050607
Pada hari terakhir, kami ke kilang KIA. Seperti di LG, kami mempelajari banyak tentang penggunaan teknologi dan menggunakan minda kerana inovasi itu amat penting.
Setelah lapan hari di Korea, kami pulang ke Singapura. Perjalanan kapal terbang itu bermula pada pukul 4.30 dan kami tiba di Singapura pada pukul 9.30.
KOREA (: