Sunday, July 27, 2008

Karangan Argumenatif: Pertandingan uji bakat

Pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen bermanfaat. Bincangkan.

Langit berwarna merah. Matahari akan terbenam. Bunyi jam dinding kedengaran, menandakan masa tepat tujuh malam. Televisyen di ruang tamu dihidupkan. Terdapat berbagai-bagai rancangan pertandingan uji bakat yang sedang ditayangkan, seperti Idola Singapura, Anugerah Skrin, ‘So You Think You Can Dance’, dan Juara. Itulah situasi yang biasa terdapat hari ini. Terdapat berbagai-bagai jenis pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen, bukan sahaja untuk para peserta, malah untuk pihak penonton di rumah juga, tetapi adakah pertandingan-pertandingan uji bakat tersebut benar-benar bermanfaat?

Sudah tentu. Pertama sekali, pertandingan uji bakat dapat mengenal pasti dan mengasah kebolehan para peserta. Ia juga menyemai nilai-nilai berdikari dan konfiden dalam setiap individu yang menyertai pertandingan tersebut. Setiap orang itu mempunyai bakatnya tersendiri, tetapi ada yang lebih berkebolehan dalam bidang-bidang hiburan seperti nyanyian dan tarian. Tanpa pertandingan-pertandingan seperti Anugerah, mungkin golongan ini tidak sedar akan kebolehan mereka, dan bakat mereka akan terus terbazir. Sebagai contoh, pemenang ‘Briton’s got Talent’, Paul Potts, sebenarnya seorang pengurus kedai telefon bimbit, sebelum dia menyertai pertandingan uji bakat tersebut. Tanpa ‘Briton’s Got Talent’, bakatnya yang tersembunyi itu akan terus berkekal sebagai rahsianya sendiri. Oleh kerana pertandingan uji bakat dapat mengenal pasti individu yang berbakat, seperti Paul Potts, dan memperkenalkannya kepada seluruh dunia, sudah tentu ia bermanfaat.

Walau bagaimanapun, pertandingan uji bakat juga mempunyai kesan-kesan buruknya. Peserta-peserta yang memperolehi kemasyhuran, seperti Paul Potts, merupakan hanya segelintir daripada jumlah orang yang menyertai pertandingan-pertandingan uji bakat. Kebanyakan peserta kurang berbakat, dan hanya memalukan diri mereka di khalayak ramai. Tambahan pula, komen dan kritikan pengadil-pengadil yang tajam akan lebih memalukan peserta demikian. Sebagai contoh, William Hung, seorang peserta Idola Amerika, telah diperolok-olokkan ramai penonton sejak penyertaannya dalam pertandingan uji bakat tersebut. Dia bukan sahaja memalukan dirinya sendiri malah masyrakat Cina di Amerika Syarikat juga. Contoh ini dapat menunjukkan bahawa walaupun ramai yang menyertai pertandingan uji bakat supaya dapat merasai gaya hidup selebriti, malangnya perkara yang sebaliknya berlaku. Mereka hanya menconteng arang di muka dan akhirnya, tahap keyakinan mereka terjejas.

Dengan menyertai pertandingan-pertandingan uji bakat, para peserta bukan sahaja dapat bertemu dan bergaul bersama peserta lain, malah mereka terlepas daripada mengerjakan perkara yang tidak sihat. Sebagai contoh seorang remaja yang menyertai peraduan Idola SIngapura akan melibatkan dirinya dalam aktiviti sihat seperti latihan nyanyian, bukan seperti remaja-remaja lain yang hanyut dibawa arus kebaratan. Lagipun, melalui Idola Singapura, remaja itu akan mendapat peluang untuk berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan peserta-peserta yang lain. Kadangkala, penyertaan dalam pertandingan sebegini dapat mengubah cara hidup seseorang. Hady Mirza, pemenang Idola Singapura yang kedua, dapat menjadi contoh. Sebelum dia menyertai pertandingan tersebut, dia sering membazirkan masa lapangnya dengan kawan-kawan sedarjahnya dengan berbual kosong di kolong blok. Kini, Hady sedang bekerja keras untuk menghasilkan sebuah album yang baru. Pertandingan uji bakat memang dapat mengubah cara hidup seseorang, tidak kira sama ada dia pemenang, peserta peringjat akhir, atau peserta yang tidak berjaya.

Namun, pertandingan uji bakat juga boleh menjejas hidup seseorang secara negatif. Para penonton yang aktif mengundi untuk peserta kegemaran mereka akan terjejas kerana dengan setiap undi, seseorang itu dikenakan bayaran dua dolar, yang agak mahal. Oleh kerana itu, para penonton tidak digalakkan mengundi terlalu banyak. Selain menjejas para penonton, pertandingan uji bakat juga menjejas para peserta. Ada antara mereka yang terpaksa menghentikan pelajaran atau kerja mereka hanya untuk menyertai pertandingan-pertandingan tersebut kerana mempunyai gambaran palsu atau ilusi gaya hidup seorang artis yang terkenal yang akan menerima pendapatan yang lumayan. Mereka tidak sedar bahawa hanya segelintir peserta yang akan berjaya mencapai impian tersebut. Sebagai contoh, Sarah Burgess, seorang peserta Idola Amerika 6, menghentikan pelajarannya dan juga berbohong kepada ayahnya, supaya dapat menyertai pusingan uji bakat pertandingan tersebut, dan pada akhirnya, dia tidak berjaya masuk ke pusingan akhir. Contoh ini dapat menunjukkan bahawa pertandingan uji bakat memang boleh menjejas hidup seseorang secara negatif.

Pendek kata, saya setuju. pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen memang bermanfaat, tetapi ia juga mempunyai beberapa kesan-kesan yang negatif.

Karangan Deskriptif: The Cathay (inovasi)

Pilih 1 tempat yang mempamerkan ciri inovasi dan kreativiti. Nyatakan ciri-cirinya. Nyatakan penciptanya dan sebab di sebalik ciptaan tersebut. Berikan pandangan sama ada ciri inovasi dan kreativiti lahir secara semula jadi atau dipupuk, dan huraikan. Jelaskan bagaimana ciptaan ini/pencipta dapat dijadikan inspirasi untuk mencapai impian kamu.

THE CATHAY

The Cathay ialah sebuah pusat beli-belah yang terletak berdekatan dengan Plaza Singapura di Handy Road, Dhoby Ghaut. Bangunan ini sebenarnya dibina pada tahun 1939 dengan nama Cathay Building, atau Bangunan Cathay. Pada tahun 2000, ia ditutup untuk pembaikan, dan dibuka semula serta namanya ditukar kepada The Cathay pada Mac 2006.

Namun, apakah yang istimewa tentang pusat beli-belah ini? Pertama sekali, reka bentuk luaran The Cathay dibina dengan gaya retro, seperti pawagam-pawagam pada zaman dahulu, tetapi dalamnya seperti pusat beli-belah moden yang lain. Ini mungkin sebuah strategi komersil yang inovatif, supaya dapat menarik bukan sahaja para belia dan remaja tetapi juga golongan dewasa di Singapura, yang tentu sudah lama tidak ke pawagam sebegini.

Kedua, bangunan The Cathay bukan sahaja berfungsi sebagai pusat beli-belah, malah ia juga bangunan perumahan. Tingkat satu hingga lapan bangunan itu merupakan tempat awam, tetapi tingkat sembilan hingga tujuh belas merupakan Cathay Residences, termasuk sebuah kolam renang, gelanggang tenis, dan taman untuk para penduduk yang berdiam di sana.


Selain itu, konsep The Cathay juga berbeza dengan pusat beli-belah yang lain kerana di dalamnya terletak sebuah muzium yang mempamerkan sejarah seni dan industri perfileman di Singapura. Muzium itu juga mempamerkan susur galur dan sejarah Dato Loke Wan Tho, pengasas Pertubuhan Cathay dan seorang yang telah banyak menyumbang kepada industri perfileman di Singapura dan Malaysia.

Bangunan The Cathay direka bentuk oleh Paul Tange, seorang jurubina dari Tange Associates. Pada pendapat saya, ciri-ciri inovasi dan kreativiti Paul Tange bukanlah sesuatu yang dipupuk, tetapi lahir secara semula jadi. Ini kerana ayah Paul Tange, Kenzo Tange, juga seorang yang mempunyai ciri-ciri inovasi dan kreativiti. Kenzo Tange merupakan seorang jurubina dan arkitek yang sangat terkenal. Antara projek-projek Kenzo Tange di Singapura termasuk Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Institusi Hwa Chong.

Di Singapura yang pecat membangun hari ini dan terdapat banyak bangunan-bangunan pencakar langit yang serba moden, sebuah bangunan seperti The Cathay dapat membawa kesegaran di tengah-tengah landskap kemodenan ini. Malah, dengan ciri-ciri kreativiti dan inovasi, tempat-tempat yang bersejarah juga dapat dijadikan sebagai daya tarikan, terutama sekali kepada golonga muda dan memperkenalkan mereka kepada sejarah dunia perfileman yang pernah mekar di Singapura pada suatu masa dahulu.

Thursday, July 10, 2008

ULASAN

MM LEE: SINGAPURA HARUS KEKAL 65% ANAK WATAN

Menurut MM Lee di Forum Ekuiti Asia Nomura di Hotel Shangri-La semalam, walaupun Singapura sangat terbuka dalam menerima warga asing, ia masih perlu memastikan bahawa kebanyakan penduduknya harus dilahirkan dan dibesarkan di Singapura.

Saya setuju dengan pandangan MM Lee, kerana kitalah orang yang akan mempertahankan negara ini apabila ia mungkin menghadapi masalah. Warga asing di singapura boleh datang dan pergi bila-bila sahaja. Tanpa kekalnya anak watan di sini, Singapura akan menjadi sebuah tempat sahaja, tanpa masyarakat asli yang akan berjuang bila tiba masanya.

Tetapi apa yang membuat kita kekal di sini, walaupun kita juga boleh mempunyai kenangan di tempat-tempat lain? Pertama sekali ramai antara kita menghargai, dan menyayangi Singapura kerana telah dibesarkan di sini. Lagipun kebanyakan warga keluarga dan rakan kita menetap di sini juga.

Namun, mengapakah masih ramai yang berhijrah ke luar negara? Ramai yang berhijrah untuk melanjutkan pelajaran, atau bekerja. Kadang kala, terdapat lebih peluang bekerja di negara lain, dan ada yang tertarik akan kerja dan pendapatan yang lumayan.

Untuk memastikan penduduk kita yang pintar dan berbakat tidak 'lari' ke negara lain, pemerintah harus memberi penduduknya lebih insentif, seperti biasiswa dan lebih peluang pekerjaan, kerana kini kita lihat ramai warga asing yang memegang jawatan tinggi di Singapura.

Pada pendapat saya, rakyat Singapura harus mengubah sikap dan berusaha dengan lebih gigih untuk bersaing dengan warga-warga asing ini, yang sudah tentu bekerja keras, hingga sanggup meninggalkan tempat tumpah darah mereka. Kita juga harus menerima kedatangan warga-warga asing kerana mereka juga sedang memajukan ekonomi negara kta ini.

Kesimpulannya, walaupun Singapura kini sebuah bandar yang global, pemerintah tidak boleh melupakan anak watan, kerana lama-kelamaan akan hilang identiti dan budayanya. Kedua-dua warga asing dan watan penting, namun keutamaan harus diberikan kepada watan untuk berlaku adil, bak peribahasa daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga.