Sunday, July 27, 2008

Karangan Argumenatif: Pertandingan uji bakat

Pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen bermanfaat. Bincangkan.

Langit berwarna merah. Matahari akan terbenam. Bunyi jam dinding kedengaran, menandakan masa tepat tujuh malam. Televisyen di ruang tamu dihidupkan. Terdapat berbagai-bagai rancangan pertandingan uji bakat yang sedang ditayangkan, seperti Idola Singapura, Anugerah Skrin, ‘So You Think You Can Dance’, dan Juara. Itulah situasi yang biasa terdapat hari ini. Terdapat berbagai-bagai jenis pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen, bukan sahaja untuk para peserta, malah untuk pihak penonton di rumah juga, tetapi adakah pertandingan-pertandingan uji bakat tersebut benar-benar bermanfaat?

Sudah tentu. Pertama sekali, pertandingan uji bakat dapat mengenal pasti dan mengasah kebolehan para peserta. Ia juga menyemai nilai-nilai berdikari dan konfiden dalam setiap individu yang menyertai pertandingan tersebut. Setiap orang itu mempunyai bakatnya tersendiri, tetapi ada yang lebih berkebolehan dalam bidang-bidang hiburan seperti nyanyian dan tarian. Tanpa pertandingan-pertandingan seperti Anugerah, mungkin golongan ini tidak sedar akan kebolehan mereka, dan bakat mereka akan terus terbazir. Sebagai contoh, pemenang ‘Briton’s got Talent’, Paul Potts, sebenarnya seorang pengurus kedai telefon bimbit, sebelum dia menyertai pertandingan uji bakat tersebut. Tanpa ‘Briton’s Got Talent’, bakatnya yang tersembunyi itu akan terus berkekal sebagai rahsianya sendiri. Oleh kerana pertandingan uji bakat dapat mengenal pasti individu yang berbakat, seperti Paul Potts, dan memperkenalkannya kepada seluruh dunia, sudah tentu ia bermanfaat.

Walau bagaimanapun, pertandingan uji bakat juga mempunyai kesan-kesan buruknya. Peserta-peserta yang memperolehi kemasyhuran, seperti Paul Potts, merupakan hanya segelintir daripada jumlah orang yang menyertai pertandingan-pertandingan uji bakat. Kebanyakan peserta kurang berbakat, dan hanya memalukan diri mereka di khalayak ramai. Tambahan pula, komen dan kritikan pengadil-pengadil yang tajam akan lebih memalukan peserta demikian. Sebagai contoh, William Hung, seorang peserta Idola Amerika, telah diperolok-olokkan ramai penonton sejak penyertaannya dalam pertandingan uji bakat tersebut. Dia bukan sahaja memalukan dirinya sendiri malah masyrakat Cina di Amerika Syarikat juga. Contoh ini dapat menunjukkan bahawa walaupun ramai yang menyertai pertandingan uji bakat supaya dapat merasai gaya hidup selebriti, malangnya perkara yang sebaliknya berlaku. Mereka hanya menconteng arang di muka dan akhirnya, tahap keyakinan mereka terjejas.

Dengan menyertai pertandingan-pertandingan uji bakat, para peserta bukan sahaja dapat bertemu dan bergaul bersama peserta lain, malah mereka terlepas daripada mengerjakan perkara yang tidak sihat. Sebagai contoh seorang remaja yang menyertai peraduan Idola SIngapura akan melibatkan dirinya dalam aktiviti sihat seperti latihan nyanyian, bukan seperti remaja-remaja lain yang hanyut dibawa arus kebaratan. Lagipun, melalui Idola Singapura, remaja itu akan mendapat peluang untuk berinteraksi serta bertukar-tukar fikiran dengan peserta-peserta yang lain. Kadangkala, penyertaan dalam pertandingan sebegini dapat mengubah cara hidup seseorang. Hady Mirza, pemenang Idola Singapura yang kedua, dapat menjadi contoh. Sebelum dia menyertai pertandingan tersebut, dia sering membazirkan masa lapangnya dengan kawan-kawan sedarjahnya dengan berbual kosong di kolong blok. Kini, Hady sedang bekerja keras untuk menghasilkan sebuah album yang baru. Pertandingan uji bakat memang dapat mengubah cara hidup seseorang, tidak kira sama ada dia pemenang, peserta peringjat akhir, atau peserta yang tidak berjaya.

Namun, pertandingan uji bakat juga boleh menjejas hidup seseorang secara negatif. Para penonton yang aktif mengundi untuk peserta kegemaran mereka akan terjejas kerana dengan setiap undi, seseorang itu dikenakan bayaran dua dolar, yang agak mahal. Oleh kerana itu, para penonton tidak digalakkan mengundi terlalu banyak. Selain menjejas para penonton, pertandingan uji bakat juga menjejas para peserta. Ada antara mereka yang terpaksa menghentikan pelajaran atau kerja mereka hanya untuk menyertai pertandingan-pertandingan tersebut kerana mempunyai gambaran palsu atau ilusi gaya hidup seorang artis yang terkenal yang akan menerima pendapatan yang lumayan. Mereka tidak sedar bahawa hanya segelintir peserta yang akan berjaya mencapai impian tersebut. Sebagai contoh, Sarah Burgess, seorang peserta Idola Amerika 6, menghentikan pelajarannya dan juga berbohong kepada ayahnya, supaya dapat menyertai pusingan uji bakat pertandingan tersebut, dan pada akhirnya, dia tidak berjaya masuk ke pusingan akhir. Contoh ini dapat menunjukkan bahawa pertandingan uji bakat memang boleh menjejas hidup seseorang secara negatif.

Pendek kata, saya setuju. pertandingan uji bakat yang dianjurkan stesen-stesen televisyen memang bermanfaat, tetapi ia juga mempunyai beberapa kesan-kesan yang negatif.

No comments: