Sunday, April 29, 2007

Karangan 4: Blog (Surat Rasmi)

Abdul Malek bin Abdullah
1005C Laguna Bay
#24-511
Singapura 311484

4 April 2007

Tuan Pengarang
Berita Harian
390 Kim Seng Road
Singapura 239495

Tuan

Blog-blog yang menyentuh isu-isu sensitif

Saya, Abdul Malek bin Abdullah, adalah seorang pelajar di VJC. Sebagai seorang penulis blog yang juga gemar membaca blog atau jurnal alam maya orang lain, saya sedar bahawa kegiatan menulis blog ini semakin mendapat tempat di hati para remaja yang menganggapnya sebagai basahan hidup. Saya menulis surat ini kerana baru-baru ini, saya telah melungsuri beberapa buah halaman blog yang mengandungi isi yang menyentuh isu-isu sensitive yang berpotensi untuk mencetuskan perbalahan.

Sebagai contoh, pada hari Khamis yang lalu, saya telah melungsuri sebuah halaman blog kepunyaan seseorang yang menggunakan gelaran ‘Sang Hitam’. Saya mendapati bahawa dia telah menulis tentang masalah sekolahnya. Menurutnya, seorang pelajar yang berasal dari India selalu mendapat tempat pertama dalam kelasnya dan dia berpendapat bahawa pelajar-pelajar yang bukan rakyat Singapura tidak patut dibenarkan belajar di negara ini. Walaupun, masalah ‘Sang Hitam’ tidak menjejas saya, saya masih berasa bahawa perbuatannya itu salah kerana boleh mencetuskan perbalahan antara orang asing dan rakyat Singapura.

Sebagai contoh yang lain, semalam, sedang saya melungsuri halaman-halaman blog yang lain pula, saya mendapati bahawa seorang lagi pelajar telah menulis isi berkenaan dengan isu sensitive. Menurut si ‘Student Blogger No.1’, pada setiap Jumaat, kelasnya terpaksa dihentikan lebih awal kerana para pelajar beragam Islam harus ke masjid untuk menunaikan ibadat Solat Jumaat, tetapi ramai pelajar Muslim tidak ke masjid. Mereka menggunakan masa itu untuk berbual mesra antara satu sama lain di kolong blok. Oleh kerana itu, dia tidak mahu sekolah memberi para pelajar Muslim masa untuk menunaikan Solat Jumaat. Pada pendapat saya, dia tidak harus memberikan komen-komen yang sensitif seperti itu.

Saya mencadangkan agar setiap sekolah mengawal halaman-halaman blog murid-muridnya supaya mereka terpaksa bertanggung jawab apabila menulis blog. Setiap sekolah juga harus mengadakan undang-undang untuk murid-muridnya kerana isu penulisan blog ini amat penting.

Saya harap tuan, sebagai tuan pengarang Berita Harian akan membuat liputan lanjut tentang isu ini supaya dapat menyedarkan penulis-penulis yang tidak bertanggung jawab bahawa perbuatan mereka itu salah. Sekian sahaja surat saya. Saya harap tuan akan bertindak sewajarnya.

Yang benar,

Abdul Malek

Karangan 3: Kelakuan Remaja (Surat Rasmi)

Sufian bin Azman
Blok 16 Taman Cendana
#11-249
Singapura 778016

20 Februari 2007

Penerbit
Harian Masyarakat
34 Jalan Kembara
Singapura 944034

Tuan

Kelakuan remaja dalam kereta api MRT

Berhubungan dengan perkara di atas, saya, seorang yang sering menaiki MRT, ingin menyuarakan pendapat saya tentang kelakuan remaja dalam MRT. Hampir setiap kali saya menaiki MRT, saya akan terlihat beberapa orang remaja yang berkelakuan tidak sopan dan sikap ini menjejas penumpang lain.

Sebagai contoh, setiap kali saya menaiki MRT dari Jurong East hingga ke Simei untuk pulang ke rumah, saya mendapati bahawa terdapat beberapa remaja yang akan memainkan muzik yang terlalu kuat melalui telefon bimbit atau pemain MP3 mereka. Perbuatan ini mengganggu penumpang lain seperti saya yang sedang membaca atau membuat kerja lain.

Saya juga mendapati bahawa ramai remaja yang tidak memberi tempat duduk mereka kepada orang yang lebih memerlukan. Oleh kerana itu, orang yang tua dan kanak-kanak terpaksa berdiri apabila MRT itu penuh. Walaupun perbuatan ini tidak menjejaskan saya, saya rasa bahawa perbuatan ini salah.

Pada pendapat saya, ramai remaja hari ini berkelakuan sedemikian kerana mereka tidak sedar bahawa sikap mereka menjejaskan penumpang lain. Oleh kerana itu, pihak pemerintah bertanggung jawab untuk memastikan bahawa remaja-remaja ini sedar bahawa mereka harus berubah sikap. Cadangan saya adalah agar pihak pemerintah mengadakan kempen-kempen untuk menyampaikan mesej tersebut kepada pihak remaja.

Saya berharap bahawa sebagai penerbit Harian Masyarakat, tuan akan cuba menyampaikan mesej ini kepada masyarakat umum dan menyiasat masalah ini dengan lebih dalam lagi. Sekian untuk makluman dan tindakan tuan. Terima kasih.

Yang benar
Sufian bin Azman

Karangan 2: Singapura Membosankan (Argumentatif)

Singapura membosankan. Adakah ini benar? Tentu ramai antara para remaja yang berpendapat bahawa negara kita ini membosankan kerana mereka kekurangan aktiviti untuk dilakukan dan tidak mahu pergi ke sekolah. Tetapi terdapat juga golongan remaja yang berasa bahawa Singapura adalah sebuah negara yang seronok.

Singapura membosankan kerana para remaja kekurangan aktiviti untuk dilakukan. Ini berlaku kerana negara kita ini tidak mempunyai banyak tempat yang menarik. Oleh kerana itu, ramai antara remaja Singapura yang akan meluangkan masa lapang mereka di tempat yang sama. Sebagai contoh, apabila seseorang remaja hendak keluar untuk bergaul bersama dengan kawan-kawannya, dia pasti akan ke pusat membeli-belah, menonton wayang, atau berbual kosong di kolong blok.

Perenggan di atas tidak seratus peratus benar kerana terdapat banyak tempat di Singapura yang menarik dan pihak pemerintah sedang cuba membina lebih banyak tempat yang menarik untuk menghilangkan imej Singapura sebagai sebuah negara yang membosankan. Sebagai contoh, bangunan Esplanade yang baru dibina adalah salah satu contoh tempat yang menarik dan juga tempat-tempat seperti taman tema Escape dan sebagainya.

Singapura juga membosankan kerana pemerintah negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan. Oleh kerana itu, sebahagian besar masa kita tertumpu kepada pelajaran lalu kita kekurangan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang lebih menarik. Sebagai contoh, seorang pelajar sekolah menengah pergi ke sekolah pada pukul tujuh oagi. Masa kurikulumnya tamat pada pukul satu tetapi dia mempunyai projek sekolah yang patut diselesaikan lalu dia terpaksa membuat projeknya. Setelah selesai projeknya, dia harus menghadiri latihan kegiatan luar darjahnya pula dan selepas itu, dia terpaksa menghabiskan kerja sekolahnya. Pelajar tersebut tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti yang tidak membosankan.

Itu mungkin benar tetapi cara pendidikan di negara kita ini tidak membosankan. Kebanyakan projek yang ditugaskan kepada murid-murid sangat menarik dan murid-murid gemar menyertai kegiatan luar darjah mereka. Oleh kerana itu, kenyataan bahawa Singapura membosankan kerana negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan itu tidak benar. Sebagai contoh, pelajar program sepadu di Maktab Rendah Victoria mengorbankan sebahagian besar masa mereka untuk pelajaran tetapi mereka gemar belajar kerana projek-projek dan tugasan yang diberi cukup menarik dan tidak membosankan.

Pada pendapat saya, Singapura tidak membosankan kerana walaupun saya kekurangan masa untuk melakukan aktiviti seperti terjun bungee dan sebagainya, saya tetap tidak berasa bosan kerana saya mempunyai kawan-kawan di sekolah yang dapat menceriakan saya dan menjadikan alam persekolahan saya amat seronok. Mungkin, Singapura tidak seperti negara lain yang mempunyai lebih tempat yang menarik dan tidak terlalu tertumpu terhadap pelajaran tetapi pada pendapat saya, apa yang ada di Singapura cukup bagi saya dan remaja-remaja lain.

Karangan 1: Ramli (Naratif)

Aku berada di dalam pejabatku. Hari sudah lewat. Setiausahaku masih belum menyelesaikan kerjannya. Aku menyuruhnya menghabiskan kerja itu esok. Jam dindingku menandakan masa lapan malam. Aku pun sedia pulang ke rumah. Tiba-tibe, aku ternampak senaskah suratkhabar. Di muka suratkhabar itu, aku ternampak wajah seorang pemuda yang berambut panjang dan kelihatan marah. Wajah itu membawa kenangan kawan lamaku, Ramli.

Ramli dan aku berkawan baik sejak kami menuntut di Sekolah Rendah Opera Estate. Setiap hari, kami akan pulang bersama kerana dia tinggal di blok sebelah blokku. Aku masih ingat. Sebelum pulang ke rumah, kami akan membeli aiskrim dan akan menghabiskannya sebelum kami tiba di rumah kerana tidak mahu ibu kami marah.

Kami berdua tidak berjaya mendapat markah yang baik untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah kami. Oleh kerana itu, kami terpaksa menuntut di sebuah sekolah kejiranan. Di situlah tempat ia semua berubah. Semenjak menengah satu, Ramli mula berkawan dengan murid-murid yang nakal. Dia mula berubah. Dia mewarnakan rambutnya, mendidik telinganya dan sebahagian badannya bertatu. Perubahan itu bukan sahaja secara fizikal. Ramli sering ridak menyelesaikan kerja sekolahnya dan mula gagal dalam peperiksaan. Guru-guruku pun telah berputus asa dan tidak mahu mengajarnya.

Pada suatu hari, dalam pelajaran ke rumah, aku terserempak dengan Ramli dan kawan-kawannya. Mereka menjemputku agar menyertai kumpulan samseng mereka. Aku masih lagi ingat kata-kata Ramli. “Aku beri kau pilihan. Sertai kumpulanku atau keluar dari hidupku.” Di saat itu lah aku membuat keputusan bahawa aku tidak akan menganggap Ramli sebagai kawanku lagi. Lebih baik aki kehilangan seseorang kawan daripada merosakkan masa hadapanku. Sejak hari itu, aku tidak pernah berbual dengan Ramli dan walau apapun yang terjadi, aku tidak menyesal dengan keputusan yeang telah aku ambil. Padaku, itulah pilihan yang terbaik.

Friday, April 13, 2007

PROJEK: PGL

Gunung Ledang

• Gunung Ledang, atau Mount Ophir, terletak di Johor, Malaysia.

•Ia hanya diberi nama Gunung Ledang ketika waktu Empayar Majapahit.

• Menurut sejarah Malaysia, gunung itu mengandungi logam emas dan menarik ramai pedagang dari Yunani dan China.

•Pada abad ke-14, pedagang-pedagang dari China memberi gunung itu gelaran ‘Kim Sua’ yang bermakna gunung emas.


Asas lagenda PGL

•Dalam sejarah Melayu, Puteri Gunung Ledang dikatakan amat cantik sehingga diingini oleh Sultan Mahmud dari Kesultanan Melaka lalu Sultan hendak meminangnya.

• Puteri Gunung Ledang dikatakan menolak pinangan Sultan Mahmud dengan mengenakan tujuh syarat yang tidak mampu ditunaikan olehnya iaitu:

1.Satu jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang
2.Satu jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang
3. Tujuh dulang hati nyamuk
4. Tujuh dulang hati kuman
5. Tujuh tempayan air mata anak dara
6. Tujuh tempayan air pinang muda
7. Semangkuk darah anak Sultan Mahmud



Puteri Gunung Ledang 1

•Sultan Mahmud hendak berkahwin dengan seorang puteri, Dinda.

•Dia termimpi tentang PGL dan jatuh cinta dengannya lalu membatalkan cadangan perkahwinannya dengan Dinda.

•Hang Tuah cuba menolong Sultan dengan memerintah para pendekar untuk mencari PGL di puncak Gunung Ledang

•Hanya seorang pendekar, Tun Mamat, yang dapat sampai ke puncak Gunung Ledang

•Di sana, dia menemui seorang Nenek Kebayan yang membawanya berjumpa dengan PGL.

•PGL memberitahu Tun Mamat bahawa dia tidak mahu menjadi seorang permaisuri melainkan Sultan dapat memenuhi syarat-syaratnya.

•Sultan Mahmud telah memenuhi enam daripada tujuh syarat itu.

•Apabila dia memasuki bilik tidur anaknya untuk membunuhnya, tiba-tiba PGL memasuki bilik itu dan memberitahu Sultan bahawa dia tidak akan berkahwin dengannya kerana dia itu seorang yang zalim.

•Sultan sedar akan silapnya dan meminta maaf dengan semua.


Puteri Gunung Ledang 2

•Puteri Majapahit, Gusti Putri, terjatuh cinta dengan Hang Tuah lalu dia meninggalkan istananya untuk mencari Hang Tuah.

•Setelah dia meninggalkan istananya, Majapahit diserang Demak, sebuah empayar dari Java.

•Raja Majapahit, abang Gusti Puteri, bernama Gusti Adipati.

•Gusti Adipati hendak menawarkan adiknya kepada Sultan Demak tetapi adiknya itu sudah hilang dari istananya.

•Untuk menyelamatkan Majapahit, Gusti Adipati terpaksa membuat persekutuan dengan Melaka yang lebih kuat.

•Gusti Adipati memaksa Gusti Putri berkahwin dengan Sultan Mahmud dari Melaka.

•Gusti Putri tidak mahu berkahwin dengan Sultan Mahmud lalu melarikan dirinya.

•Hang Tuah diperintah untuk mengetuai pendekar-pendekar dan mencari Gusti Putri walaupun dia mencintainya.

•Gusti Adipati sangat marah dengan Hang Tuah lalu menggunakan kuasa ajaibnya untuk ke Gunung Ledang dan menentang Hang Tuah.

•Hang Tuah dapat mengalahkan Gusti Adipati dengan membunuhnya. Dia pun menyesal akan perbuatannya dan mematuhi perintah Gusti Adipati lalu menjemput Gusti Putri menjadi isteri Sultan Mahmud.

•Dia setuju hanya jika Sultan dapat memenuhi tujuh syaratnya.

•Sebelum dia membunuh anaknya, Gusti Putri tiba-tiba berada di situ dan memberitahunya bahawa syarat-syarat itu adalah cara dia menolak permintaannya.

•Sultan Mahmud, dengan rasa malu, bersumpah bahawa mula dari pagi esok, sesiapa yang melihat Gusti Putri akan mati kerana batuk darah.

•Hang Tuah, dengan mendengar sumpah itu, berlari ke puncak Gunung Ledang untuk bertemu dengan gadis kesayangannya pada kali terakhir TETAPI…

•Dia bertemu dengan PGL setelah matahari terbit, lalu mati.

•Dia sengaja mati kerana berasa bahawa melihat PGL pada kali terakhir lebih penting berbanding dengan hidupnya.


Pengajaran


Jangan sanggup membuat perkara yang jahat untuk mendapatkan sesuatu.

Cinta tidak boleh dipaksa.


Penghargaan

Wikipedia - http://en.wikipedia.org/

ULASAN 1

LUMBA F1 AKAN SALING MENGUNTUNGKAN

Sabtu, 14 April 2007

USAHA untuk membawa Lumba Kereta Grand Prix Formula Satu (F1) ke Singapura telah menimbulkan sedikit keprihatinan. Penganjur F1 di seberang tambak sejak 1999 berpendapat tidak wajar republik ini mengada kannya kerana akan timbul persaingan tidak sihat.
Namun ada juga pihak yang menyatakan penganjuran perlumbaan di dua negara ini adalah saling melengkapi dan tidak akan menjejas sambutan peminat. Bahkan ia akan meningkatkan mutu dari segi logistik dan tajaan. Selain itu ia juga boleh mendorong penerobosan teknologi kereta yang serba jimat dari segi minyak dan ketahanan enjin seperti ujian kejuruteraan di Universiti Nasional Singapura.

F1 merupakan daya utama komersial semata antara para pemegang taruhan utama F1 dan usahawan dalam sesebuah negara. Lazimnya, pemerintah seperti Singapura sekadar memberi sokongan padu untuk menjayakannya. Oleh itu, acara sukan kedua amat popular sekali (selepas bola sepak) ini hanya akan menjadi kenyataan jika ada kesepakatan swasta. Kelicinan penganjuran acara itu bergantung pula kepada pemasaran dan sambutan syarikat dan orang ramai.

Singapura belum ada litar F1. Oleh itu, kita mungkin mencontohi Monaco iaitu mengadakan perlumbaan di jalan raya di kawasan tengah bandar. Singapura mungkin memilih waktu malam iaitu di luar waktu sibuk. Ini mungkin sekali gus menjadikan Singapura sebagai penganjur pertama perlumbaan F1 pada sebelah malam. Selain suhu yang lebih nyaman dan selesa bagi pemandu, acara malam ini boleh ditonton di Eropah atau Amerika Utara kerana perbezaan waktu.

Di samping menjadikan sesebuah tempat terkenal dan menjana ribuan lagi pekerjaan, F1 juga melambangkan kematangan sesebuah negara dalam bidang teknologi motor. Hal ini dimaklumi ketua F1, Encik Bernie Ecclestone, dan juga legenda dan bekas juara dunia F1, Sir Jackie Stewart. Mentelah, dengan adanya dua pertandingan F1 di Asia Tenggara, sukan ini akan menjadi kian popular di seluruh Asia.

Pokoknya, bagaimana mengatur jadual F1 yang tidak 'meletihkan' pada pelumba, penaja dan juga penonton. Misalnya, F1 boleh diadakan awal tahun di Malaysia dan pertengahan tahun di Singapura. Jelaslah, tidak timbul isu bahawa dua lokasi berjarak kurang 300 km itu akan saling bersaing secara merugikan. Sebaliknya, ia akan mendatangkan lebih banyak manfaat dari segi ekonomi kepada dua negara jiran ini.
---------------------------------------

ULASAN

Saya memilih untuk membuat ulasan akhbar tentang artikel komentar tentang usaha untuk membawa Lumba Kereta Grand Prix Formula Satu (F1) ke Singapura kerana saya sendiri seorang peminat F1 dan harap Singapura akan menjadi penganjur perlumbaan F1 yang pertama di Asia Tenggara, selain Sepang yang juga menganjurkan perlumbaan F1 setiap tahun.

Selain itu, jika Singapura dapat mengadakan perlumbaan F1, Singapura akan menjadi penganjur pertama perlumbaan F1 pada waktu malam dan penganjur kedua yang mengadakan perlumbaan F1 di jalan raya di kawasan tengah bandar.

Pada pendapat saya, komentar ini ditulis oleh seorang yang adil dan tidak berat sebelah kerana dia memberi kedua-dua kebaikan dan keburukan mengadakan sebuah perlumbaan F1 di Singapura lalu artikel ini sebuah komentar yang baik.

Apabila saya membaca artikel ini, saya sedar bahawa walaupun sebuah perlumbaan F1 akan menarik ramai pelancong, meningkatkan mutu dari segi logistik dan tajaan, dan mendorong penerobosan teknologi kereta, ia juga boleh menimbulkan persaingan yang tidak sihat antara Singapura dan Malaysia. Sebagai contoh, dengan adanya perlumbaan F1 di Singapura, ramai antara peminat F1 di rantau ini yang terpaksa memilih antara perlumbaan di Sepang dan di Singapura, dan ini akan menyebabkan kekurangan peminat yang akan ke Sepang.

Saya harap walaupun persaingan yang tidak sihat akan ditimbulkan, Singapura masih dapat menganjurkan perlumbaan F1 di sini dan harap akan mendapt sambutan syarikat dan orang awam yang amat baik.

Kosa Kata

Tambak – timbunan tanah untuk menahan air
Penerobosan – perbuatan menembus masuk
Swasta – bukan milik kerajaan
Litar – jalan yang dilalui sesuatu
Menjana - menghasilkan

* saya meminta maaf kerana tidak dapat menyelesaikan ulasan saya tepat pada hari Jumaat kerana 'modem' saya dibaiki semalam.