Sunday, April 29, 2007

Karangan 2: Singapura Membosankan (Argumentatif)

Singapura membosankan. Adakah ini benar? Tentu ramai antara para remaja yang berpendapat bahawa negara kita ini membosankan kerana mereka kekurangan aktiviti untuk dilakukan dan tidak mahu pergi ke sekolah. Tetapi terdapat juga golongan remaja yang berasa bahawa Singapura adalah sebuah negara yang seronok.

Singapura membosankan kerana para remaja kekurangan aktiviti untuk dilakukan. Ini berlaku kerana negara kita ini tidak mempunyai banyak tempat yang menarik. Oleh kerana itu, ramai antara remaja Singapura yang akan meluangkan masa lapang mereka di tempat yang sama. Sebagai contoh, apabila seseorang remaja hendak keluar untuk bergaul bersama dengan kawan-kawannya, dia pasti akan ke pusat membeli-belah, menonton wayang, atau berbual kosong di kolong blok.

Perenggan di atas tidak seratus peratus benar kerana terdapat banyak tempat di Singapura yang menarik dan pihak pemerintah sedang cuba membina lebih banyak tempat yang menarik untuk menghilangkan imej Singapura sebagai sebuah negara yang membosankan. Sebagai contoh, bangunan Esplanade yang baru dibina adalah salah satu contoh tempat yang menarik dan juga tempat-tempat seperti taman tema Escape dan sebagainya.

Singapura juga membosankan kerana pemerintah negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan. Oleh kerana itu, sebahagian besar masa kita tertumpu kepada pelajaran lalu kita kekurangan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang lebih menarik. Sebagai contoh, seorang pelajar sekolah menengah pergi ke sekolah pada pukul tujuh oagi. Masa kurikulumnya tamat pada pukul satu tetapi dia mempunyai projek sekolah yang patut diselesaikan lalu dia terpaksa membuat projeknya. Setelah selesai projeknya, dia harus menghadiri latihan kegiatan luar darjahnya pula dan selepas itu, dia terpaksa menghabiskan kerja sekolahnya. Pelajar tersebut tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti yang tidak membosankan.

Itu mungkin benar tetapi cara pendidikan di negara kita ini tidak membosankan. Kebanyakan projek yang ditugaskan kepada murid-murid sangat menarik dan murid-murid gemar menyertai kegiatan luar darjah mereka. Oleh kerana itu, kenyataan bahawa Singapura membosankan kerana negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan itu tidak benar. Sebagai contoh, pelajar program sepadu di Maktab Rendah Victoria mengorbankan sebahagian besar masa mereka untuk pelajaran tetapi mereka gemar belajar kerana projek-projek dan tugasan yang diberi cukup menarik dan tidak membosankan.

Pada pendapat saya, Singapura tidak membosankan kerana walaupun saya kekurangan masa untuk melakukan aktiviti seperti terjun bungee dan sebagainya, saya tetap tidak berasa bosan kerana saya mempunyai kawan-kawan di sekolah yang dapat menceriakan saya dan menjadikan alam persekolahan saya amat seronok. Mungkin, Singapura tidak seperti negara lain yang mempunyai lebih tempat yang menarik dan tidak terlalu tertumpu terhadap pelajaran tetapi pada pendapat saya, apa yang ada di Singapura cukup bagi saya dan remaja-remaja lain.

No comments: