Thursday, July 10, 2008

ULASAN

MM LEE: SINGAPURA HARUS KEKAL 65% ANAK WATAN

Menurut MM Lee di Forum Ekuiti Asia Nomura di Hotel Shangri-La semalam, walaupun Singapura sangat terbuka dalam menerima warga asing, ia masih perlu memastikan bahawa kebanyakan penduduknya harus dilahirkan dan dibesarkan di Singapura.

Saya setuju dengan pandangan MM Lee, kerana kitalah orang yang akan mempertahankan negara ini apabila ia mungkin menghadapi masalah. Warga asing di singapura boleh datang dan pergi bila-bila sahaja. Tanpa kekalnya anak watan di sini, Singapura akan menjadi sebuah tempat sahaja, tanpa masyarakat asli yang akan berjuang bila tiba masanya.

Tetapi apa yang membuat kita kekal di sini, walaupun kita juga boleh mempunyai kenangan di tempat-tempat lain? Pertama sekali ramai antara kita menghargai, dan menyayangi Singapura kerana telah dibesarkan di sini. Lagipun kebanyakan warga keluarga dan rakan kita menetap di sini juga.

Namun, mengapakah masih ramai yang berhijrah ke luar negara? Ramai yang berhijrah untuk melanjutkan pelajaran, atau bekerja. Kadang kala, terdapat lebih peluang bekerja di negara lain, dan ada yang tertarik akan kerja dan pendapatan yang lumayan.

Untuk memastikan penduduk kita yang pintar dan berbakat tidak 'lari' ke negara lain, pemerintah harus memberi penduduknya lebih insentif, seperti biasiswa dan lebih peluang pekerjaan, kerana kini kita lihat ramai warga asing yang memegang jawatan tinggi di Singapura.

Pada pendapat saya, rakyat Singapura harus mengubah sikap dan berusaha dengan lebih gigih untuk bersaing dengan warga-warga asing ini, yang sudah tentu bekerja keras, hingga sanggup meninggalkan tempat tumpah darah mereka. Kita juga harus menerima kedatangan warga-warga asing kerana mereka juga sedang memajukan ekonomi negara kta ini.

Kesimpulannya, walaupun Singapura kini sebuah bandar yang global, pemerintah tidak boleh melupakan anak watan, kerana lama-kelamaan akan hilang identiti dan budayanya. Kedua-dua warga asing dan watan penting, namun keutamaan harus diberikan kepada watan untuk berlaku adil, bak peribahasa daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga.

No comments: