Friday, August 24, 2007

Karangan 6: GEMS (surat rasmi)

Rashid bin Ahmad
Blk 107 Jurong Central
#11-253
Singapura 342107

16 Ogos 2007

Pegawai Perhubungan Awam
Penaung GEMS
Badan Perkhidmatan Awam Singapura
34 Traders Road
Singapura

Tuan

Tahniah atas kejayaan GEMS

Saya, Rashid Bin Ahmad, sebagai seorang pelanggan, sedar bahawa baru-baru ini, badan perkhidmatan awam telah memperkenalkan satu langkah yang dinamakan GEMS dengan tujuan perkhidmatan yang bermutu tinggi dan layanan yang lebih mesra. Saya menulis surat ini untuk memberitahu Tuan bahawa seorang pekedai telah menepati apa yang dicadangkan GEMS dan saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi.

Kedai yang saya langgani itu bernama ‘Chao Kai Sports World’ dan ia terletak di tingkat dua Pusat Membeli-belah Queensway. Saya memasuki kedai itu bersama anak saya, Rahman, dengan tujuan membeli sepasang kasut bola sepak untuknya. Kami mendapati bahawa kedai itu, walaupun besar, penuh dengan ramai pelanggan lain yang hendak mencuba atau membeli barangan sukan. Kami tetap memasuki kedai itu kerana anak saya tidak sabar hendak membeli kasut yang baru dan dia sudah lapar.

Sejak sahaja kami menjejaki kedai ‘Chao Kai Sports World’, salah seorang pekedai di situ, Muthu, menghampiri kami. Walaupun sibuk melayan pelanggan-pelanggan lain, dia menjemput kami masuk dan terus mencari tempat duduk untuk kami. Selepas itu, saya cuba mencari kasut yang sesuai untuk anak saya. Apabila saya memilih kasut Nike Swift, yang agak mahal, tetapi digunakan oleh ramai pemain-pemain profesional di merata dunia, Muthu menegur saya dengan cara yang mesra. Dia memberitahu saya bahawa walaupun kasut itu antara yang terbaik di dunia, ia tidak sesuai untuk anak saya yang baru berumur sebelas tahun dan masih sedang membesar. Dia mencadangkan bahawa saya memilih kasut Topper kerana ia lebih murah dan walaupun tidak sebaik kasut Nike itu, ia akan tahan lama.

Saya amat puas hati dengan sikap Muthu itu yang mengutamakan apa yang terbaik untuk pelanggan-pelanggannya. Setelah saya membeli kasut itu, dia sempat memberi anak saya gula-gula dan juga berbual dengan anak saya tentang pasukan kegemaran mereka, Liverpool.

Saya harap tuan, sebagai Pegawai Perhubungan Awam / Penaung GEMS, dapat memberi penghargaan kepada Muthu kerana telah menepati apa yang dicadangkan GEMS. Saya juga hendak mengucapkan tahniah kepada tuan kerana berpendapat bahawa langkah ini telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan di banyak tempat di Singapura.

Yang benar
Rashid

Karangan 5: Tanggungjawabku (Naratif)

1. Tulis sebuah cerita yang disudahi dengan ayat berikut.
“Kini aku sedar bahawa aku harus selalu mendahulukan perkara yang lebih penting.”

Tanggungjawabku

Aku menoleh ke belakang. Rupa-rupanya rakan baikku, Farhan, yang memanggilku. Dia berlari ke arahku.
“Eh Man. Rupanya kau di dalam kelas. Aku dan Hamdan sudah sejam cuba cari kau.”
“Oh maaf. Aku sedang menyelesaikan kerja sekolahku. Mengapa kau dan Hamdan hendak cari aku?”
“Sebenarnya, si Alfee suruh kami tolongnya menjemput kau ke rumahnya pada malam Sabtu ini untuk menyambut hari lahirnya,” jawab Farhan. Oleh kerana aku tidak mempunyai sebarang rancangan untuk malam Sabtu itu, saya terima jemputan Alfee itu.

Aku, Alfee, Farhan dan Hamdan berkawan baik sejak darjah satu. Keempat-empat kami tinggal di blok yang sama dan ke sekolah yang sama, iaitu Sekolah Menengah Aman Damai. Kami juga menyertai latihan bola sepak sebagai kegiatan luar darjah kami. Oleh kerana itu, setiap hari, kami akan pulang bersama. Aku rasa, tanpa mereka tiga, hidupku akan amat sangat bosan.

Keesokan harinya, aku sedar bahawa Sabtu itu, ibu bapaku akan ke Kuala Lumpur untuk menziarahi nenekku yang sakit tenat lalu aku terpaksa berada di rumah pada malam itu untuk menjaga adikku yang baru berusia empat tahun dan kerana itu, aku tidak akan dapat ke rumah Alfee untuk menyambut hari lahirnya.

Fikiranku tidak tenang. Aku sudah berjanji untuk ke rumah Alfee tetapi aku tidak mahu mengecewakan ibu bapaku yang telah memberiku tanggungjawab menjaga adikku. Hari demi hari lalu dan aku masih tidak tahu apa yang hendak aku lakukan. Jikalau aku memberitahu Alfee bahawa aku tidak dapat menyambut hari lahirnya, walaupun dia akan faham masalahku, dia tentu akan rasa kecewa kerana aku tidak dapat hadir. Jika aku memberitahu ibu bapaku bahawa aku telah membuat rancangan untuk malam Sabtu itu, mereka juga akan kecewa terhadapku. Aku tidak dapat tidur.

Hari Sabtu itu tiba. Ibu dan bapaku telah memulakan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Aku berada di rumah, bersama dengan adikku. Malam hampir tiba. Aku masih mahu ke rumah Alfee. Tiba-tiba, aku tidak dapat fikir dengan sempurna. Aku mesti menyambut hari lahir Alfee. Aku terus menguncikan adikku di dalam bilikku dan meninggalkannya seorang di rumah sementara aku ke rumah Alfee. Tidak pernah aku sangka bahawa perbuatan itu akan aku sangat menyesal sepanjang hidupku.

~

Malam sudah lewat. Aku pulang ke rumah. Aku buka pintu bilikku. Adikku tidak berada di dalamnya. Aku mula cemas. Tiba-tiba, aku sedar bahawa tingkap bilik itu tidak tertutup. Aku ke arah tingkap itu. Aku ternampak ramai orang berkumpul di kolong blokku. Aku terdengar bunyi siren ambulans. Aku terus pengsan.


Aku, bersama dengan keluarga, berada di kubur. Pakcikku sedang membaca doa untuk adikku yang telah meninggalkan kami. Aku masih tidak percaya bahawa adikku telah meninggalkan dunia ini, dan ia semua salahku. Tetapi kini, aku sedar bahawa aku harus selalu mendahulukan perkara yang lebih penting.

440 patah perkataan

Tuesday, June 26, 2007

KOREA

Pada 28 haribulan Mei 2007, hampir 120 orang pelajar dan cikgu dari Program Bersepadu Victoria berangkat ke Korea Selatan dari Singapura dan akan berada di sana selama lapan hari. Kami ke sana untuk mempelajari tentang budaya Korea dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Kami berangkat ke Korea pada pukul 10.30 malam dan menaiki Korean Airlines.

HARI PERTAMA - 290507
Kami tiba di lapangan terbang di Korea, iaitu Lapangan Terbang Incheon-Korea pada hampir pukul 7. Dari lapangan terbang itu, kami terus menaiki bas untuk ke lima tempat di Seoul yang bersejarah iaitu Deok Su Gung Palace, Blue House, Pasar Dong Dae Mun, Tugu Peperangan Korea dan Pusat Membeli-belah Doota.


Blue House



Deok Su Gung Palace




Tugu Peperangan Korea

Setelah kelima-lima tempat itu, kami ke bangunan syarikat LG. Di dalam bangunan itu terletak sebuah dewan yang saya amat gemari. Dewan itu amat canggih dan ia berada di situ khas untuk memberitahu orang awam tentang cara-cara yang digunakan oleh syarikat itu dan kemajuan LG dari segi teknologi.
Setelah itu, kami ke hotel yang bernama Sofitel Ambassador hotel, Seoul yang berdekatan dengan Universiti Dongguk. Bilik-bilik hotel itu agak besar dan sangat selesa.


HARI KEDUA - 300507

Pada hari kedua, para pelajar Muslim dan vegetarian ke restoran Dunkin Donuts untuk bersarapan. Donat-donat di situ amat lazat sekali. Setelah puas makan donat, kami ke Cheong Gye Cheon, sebuah sungai semula jadi yang terletak di hati bandar Seoul. Saya mendapati bahawa ramai pelancong berada di situ. Agaknya, sungai ini mempunyai banyak sejarah.

Setelah itu, kami ke Korean Minjuk Leadership Academy, sebuah sekolah yang terletak di Gangwondo. Sekolah itu sangat besar dan ia dibina oleh seorang pemilik kilang susu. Dia menggunakan untung-untung yang dia dapat melalui kerjayanya untuk perbelanjaan sekolah itu. Juga, murid-murid di sekolah itu tidak dikehendaki membayar yuran sekolah. Setiap murid VIP diberi peluang untuk berbual mesra dengan murid-murid KMLA yang membawa kami berjalan-jalan di sekolah mereka. Saya agak terkejut kerana mereka amat fasih berbual dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan murid di sana juga peramah dan selalu senyum apabila mereka berbual bersama kami. Saya telah mempelajari banyak tentang budaya murid-murid di Korea melalui berbual dengan murid-murid KMLA.
Setelah itu, kami ke sebuah restoran. Di restoran, para pelajar VIP diajar memasak dan menyediakan beberapa makanan Korea. Setelah makan, tiba-tiba, empat orang cikgu membawa empat kek dari dapur restoran itu. Kami agak terkejut kerana tidak tahu mengapa cikgu-cikgu kami membawa kek-kek itu. Tiba-tiba, Puan Toh memberitahu kami semua bahawa kek-kek itu telah dibeli untuk empat orang pelajar dan seorang cikgu yang menyambut hari lahir mereka semasa berada di Korea. Empat pelajar itu adalah saya, Lavan, Leslie dan Yuhan, dan cikgu itu adalah Puan Jay. Saya amat gembira kerana dapat memotong kek.
Selepas itu, kami semua ke Phoenix Park Ski Resort untuk menetap di sana.

HARI KETIGA - 310507
Pada hari ketiga di Korea, kami ke 'National Pyeong Chang Youth Centre', atau Pusat Belia Pyeong Chang Kebangsaan. Pada pendapat saya, pusat itu adalah antara yang paling saya gemari di Korea. Di pusat itu, kami mempelajari banyak tentang budaya belia Korea. Kami juga belajar memain alat muzik tradisional Korea.
Selepas itu, kami diberi sejam untuk berehat. Sedang saya dan beberapa rakan saya berjalan berdekatan padang bola sepak pusat itu, kami terjumpa sebutir bola lalu kami bermain bola sepak di situ. Tiba-tiba, antara sepuluh dan lima belas belia Korean menghampiri kami. Mereka bertanya bahawa jika mereka boleh bermain bola sepak bersama kami. Kami pun bermain dengan mereka. Pada akhir perlawanan itu, kami menang tetapi itu tidak penting. Yang penting adalah kami, murid-murid dari Singapura, telah membuat kawan-kawan yang baru dalam bentuk belia dari Korea. Gambar di bawah menunjuk para pelajar dari Singapura dan Korea yang bermain.

Kami berada di pusat itu sehingga malam dan melakukan berbagai-bagai aktiviti. Setelah itu, kami pulang ke Phoenix Park Ski Resort untuk berehat.
HARI KEEMPAT - 010607
Pada hari keempat, kami berangkat ke Daejeon dan ke Muzium Sains Kebangsaan. Muzium itu agak seronok kerana terdapat berbagai pameran yang saya sukai seperti bilik senget dan sebagainya.

Kami ke 'Hanbat Museum of Education', atau Muzium Pendidikan Hanbat selepas itu. Pada pendapat saya, muzium itu agak membosankan. Pameran-pameran di situ sangat tidak seronok kerana benda-benda seperti alat tulis, buku-buku teks lama dan kelas pada zaman dahulu dipamerkan dan saya tidak begitu suka muzium itu.




HARI KELIMA - 020607

Pada hari kelima, kami ke Daejeon Expo Park. Menurut cikgu-cikgu kami, taman itu amat besar dan disukai oleh ramai lalu para pelajar VIP semua mahu ke tempat itu tetapi apabila kami berada di taman itu, ia sangat mengecewakan kerana kebanyakan pameran dalam taman itu tutup dan hanya buka pada petang hari. Walaubagaimanapun, kami tetap ke pameran-pameran yang buka.
Selepas itu, kami ke sebuah kampung yang berdekatan Seoul yang bernama 'Korean Folk Village'. Di kampung itu, para pengunjung dapat menyaksikan pelbagai persembahan oleh orang kampung itu.
Kami pun ke Seoul Palace Hotel untuk menetap di situ. Hotel itu adalah hotel terakhir kami.
HARI KEENAM - 030607
Kami ke 'Demilitarised Zone' (DMZ). DMZ ini adalah satu-satunya di dunia. Tidak seorang pun yang dibenarkan memijak tanah dalam DMZ ini supaya keamanan antara Korea Utara dan Selatan dapat dilestarikan. Saya rasa amat sedih apabila berada di DMZ kerana saya terdengar banyak kisah tentang keluarga yang terpaksa dipisahkan oleh kerana sebuah garisan yang membahagikan Korea kepada dua bahagian, Utara dan Selatan.
Selepas itu, kami ke stesen Korail dan Kampung Namsangol Hanok tetapi saya berpendapat bahawa kedua-dua tempat ini amat membosankan. Saya meluangkan kebanyakan masa saya dengan memakan aiskrim yang sangat sedap !

HARI KETUJUH - 040607
Pada hari ketujuh, saya bangun dari tidur dan tersedar bahawa beberapa rakan rapat saya berada di dalam bilik saya. Apabila mereka sedar bahawa saya telah bangun, mereka memekik "HAPPY BIRTHDAY ASYRAF!" Baru sahaja saya sedar bahawa hari itu adalah 4 Jun, hari lahir saya. Saya amat gembira kerana kawan-kawan saya tidak terlupa tentang hari lahir saya. Mereka memberi saya kek, baju, jam dan sebagainya. Saya amat tersentuh dengan perbuatan mereka itu.

Kami ke Seoul Land dan Taman Haiwan di Taman Permainan Seoul Grand Park. Saya berasa bahawa ini antara tempat yang paling saya sukai semasa berada di Korea. Di Seoul Land, kami dapat menaiki beberapa permainan seperti 'Rollercoaster' dan kapal Viking. Di Taman Haiwan, ia seperti taman haiwan di Singapura tetapi lebih besar dan lebih menyeronokkan.
Kami ke Muzium Seni selepas itu sebagai persediaan untuk projek LA kami. Tempat ini juga agak bosan.



HARI KELAPAN - 050607
Pada hari terakhir, kami ke kilang KIA. Seperti di LG, kami mempelajari banyak tentang penggunaan teknologi dan menggunakan minda kerana inovasi itu amat penting.
Setelah lapan hari di Korea, kami pulang ke Singapura. Perjalanan kapal terbang itu bermula pada pukul 4.30 dan kami tiba di Singapura pada pukul 9.30.
KOREA (:

Sunday, April 29, 2007

Karangan 4: Blog (Surat Rasmi)

Abdul Malek bin Abdullah
1005C Laguna Bay
#24-511
Singapura 311484

4 April 2007

Tuan Pengarang
Berita Harian
390 Kim Seng Road
Singapura 239495

Tuan

Blog-blog yang menyentuh isu-isu sensitif

Saya, Abdul Malek bin Abdullah, adalah seorang pelajar di VJC. Sebagai seorang penulis blog yang juga gemar membaca blog atau jurnal alam maya orang lain, saya sedar bahawa kegiatan menulis blog ini semakin mendapat tempat di hati para remaja yang menganggapnya sebagai basahan hidup. Saya menulis surat ini kerana baru-baru ini, saya telah melungsuri beberapa buah halaman blog yang mengandungi isi yang menyentuh isu-isu sensitive yang berpotensi untuk mencetuskan perbalahan.

Sebagai contoh, pada hari Khamis yang lalu, saya telah melungsuri sebuah halaman blog kepunyaan seseorang yang menggunakan gelaran ‘Sang Hitam’. Saya mendapati bahawa dia telah menulis tentang masalah sekolahnya. Menurutnya, seorang pelajar yang berasal dari India selalu mendapat tempat pertama dalam kelasnya dan dia berpendapat bahawa pelajar-pelajar yang bukan rakyat Singapura tidak patut dibenarkan belajar di negara ini. Walaupun, masalah ‘Sang Hitam’ tidak menjejas saya, saya masih berasa bahawa perbuatannya itu salah kerana boleh mencetuskan perbalahan antara orang asing dan rakyat Singapura.

Sebagai contoh yang lain, semalam, sedang saya melungsuri halaman-halaman blog yang lain pula, saya mendapati bahawa seorang lagi pelajar telah menulis isi berkenaan dengan isu sensitive. Menurut si ‘Student Blogger No.1’, pada setiap Jumaat, kelasnya terpaksa dihentikan lebih awal kerana para pelajar beragam Islam harus ke masjid untuk menunaikan ibadat Solat Jumaat, tetapi ramai pelajar Muslim tidak ke masjid. Mereka menggunakan masa itu untuk berbual mesra antara satu sama lain di kolong blok. Oleh kerana itu, dia tidak mahu sekolah memberi para pelajar Muslim masa untuk menunaikan Solat Jumaat. Pada pendapat saya, dia tidak harus memberikan komen-komen yang sensitif seperti itu.

Saya mencadangkan agar setiap sekolah mengawal halaman-halaman blog murid-muridnya supaya mereka terpaksa bertanggung jawab apabila menulis blog. Setiap sekolah juga harus mengadakan undang-undang untuk murid-muridnya kerana isu penulisan blog ini amat penting.

Saya harap tuan, sebagai tuan pengarang Berita Harian akan membuat liputan lanjut tentang isu ini supaya dapat menyedarkan penulis-penulis yang tidak bertanggung jawab bahawa perbuatan mereka itu salah. Sekian sahaja surat saya. Saya harap tuan akan bertindak sewajarnya.

Yang benar,

Abdul Malek

Karangan 3: Kelakuan Remaja (Surat Rasmi)

Sufian bin Azman
Blok 16 Taman Cendana
#11-249
Singapura 778016

20 Februari 2007

Penerbit
Harian Masyarakat
34 Jalan Kembara
Singapura 944034

Tuan

Kelakuan remaja dalam kereta api MRT

Berhubungan dengan perkara di atas, saya, seorang yang sering menaiki MRT, ingin menyuarakan pendapat saya tentang kelakuan remaja dalam MRT. Hampir setiap kali saya menaiki MRT, saya akan terlihat beberapa orang remaja yang berkelakuan tidak sopan dan sikap ini menjejas penumpang lain.

Sebagai contoh, setiap kali saya menaiki MRT dari Jurong East hingga ke Simei untuk pulang ke rumah, saya mendapati bahawa terdapat beberapa remaja yang akan memainkan muzik yang terlalu kuat melalui telefon bimbit atau pemain MP3 mereka. Perbuatan ini mengganggu penumpang lain seperti saya yang sedang membaca atau membuat kerja lain.

Saya juga mendapati bahawa ramai remaja yang tidak memberi tempat duduk mereka kepada orang yang lebih memerlukan. Oleh kerana itu, orang yang tua dan kanak-kanak terpaksa berdiri apabila MRT itu penuh. Walaupun perbuatan ini tidak menjejaskan saya, saya rasa bahawa perbuatan ini salah.

Pada pendapat saya, ramai remaja hari ini berkelakuan sedemikian kerana mereka tidak sedar bahawa sikap mereka menjejaskan penumpang lain. Oleh kerana itu, pihak pemerintah bertanggung jawab untuk memastikan bahawa remaja-remaja ini sedar bahawa mereka harus berubah sikap. Cadangan saya adalah agar pihak pemerintah mengadakan kempen-kempen untuk menyampaikan mesej tersebut kepada pihak remaja.

Saya berharap bahawa sebagai penerbit Harian Masyarakat, tuan akan cuba menyampaikan mesej ini kepada masyarakat umum dan menyiasat masalah ini dengan lebih dalam lagi. Sekian untuk makluman dan tindakan tuan. Terima kasih.

Yang benar
Sufian bin Azman

Karangan 2: Singapura Membosankan (Argumentatif)

Singapura membosankan. Adakah ini benar? Tentu ramai antara para remaja yang berpendapat bahawa negara kita ini membosankan kerana mereka kekurangan aktiviti untuk dilakukan dan tidak mahu pergi ke sekolah. Tetapi terdapat juga golongan remaja yang berasa bahawa Singapura adalah sebuah negara yang seronok.

Singapura membosankan kerana para remaja kekurangan aktiviti untuk dilakukan. Ini berlaku kerana negara kita ini tidak mempunyai banyak tempat yang menarik. Oleh kerana itu, ramai antara remaja Singapura yang akan meluangkan masa lapang mereka di tempat yang sama. Sebagai contoh, apabila seseorang remaja hendak keluar untuk bergaul bersama dengan kawan-kawannya, dia pasti akan ke pusat membeli-belah, menonton wayang, atau berbual kosong di kolong blok.

Perenggan di atas tidak seratus peratus benar kerana terdapat banyak tempat di Singapura yang menarik dan pihak pemerintah sedang cuba membina lebih banyak tempat yang menarik untuk menghilangkan imej Singapura sebagai sebuah negara yang membosankan. Sebagai contoh, bangunan Esplanade yang baru dibina adalah salah satu contoh tempat yang menarik dan juga tempat-tempat seperti taman tema Escape dan sebagainya.

Singapura juga membosankan kerana pemerintah negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan. Oleh kerana itu, sebahagian besar masa kita tertumpu kepada pelajaran lalu kita kekurangan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang lebih menarik. Sebagai contoh, seorang pelajar sekolah menengah pergi ke sekolah pada pukul tujuh oagi. Masa kurikulumnya tamat pada pukul satu tetapi dia mempunyai projek sekolah yang patut diselesaikan lalu dia terpaksa membuat projeknya. Setelah selesai projeknya, dia harus menghadiri latihan kegiatan luar darjahnya pula dan selepas itu, dia terpaksa menghabiskan kerja sekolahnya. Pelajar tersebut tidak mempunyai masa untuk melakukan aktiviti yang tidak membosankan.

Itu mungkin benar tetapi cara pendidikan di negara kita ini tidak membosankan. Kebanyakan projek yang ditugaskan kepada murid-murid sangat menarik dan murid-murid gemar menyertai kegiatan luar darjah mereka. Oleh kerana itu, kenyataan bahawa Singapura membosankan kerana negara kita terlalu fokus terhadap pendidikan itu tidak benar. Sebagai contoh, pelajar program sepadu di Maktab Rendah Victoria mengorbankan sebahagian besar masa mereka untuk pelajaran tetapi mereka gemar belajar kerana projek-projek dan tugasan yang diberi cukup menarik dan tidak membosankan.

Pada pendapat saya, Singapura tidak membosankan kerana walaupun saya kekurangan masa untuk melakukan aktiviti seperti terjun bungee dan sebagainya, saya tetap tidak berasa bosan kerana saya mempunyai kawan-kawan di sekolah yang dapat menceriakan saya dan menjadikan alam persekolahan saya amat seronok. Mungkin, Singapura tidak seperti negara lain yang mempunyai lebih tempat yang menarik dan tidak terlalu tertumpu terhadap pelajaran tetapi pada pendapat saya, apa yang ada di Singapura cukup bagi saya dan remaja-remaja lain.

Karangan 1: Ramli (Naratif)

Aku berada di dalam pejabatku. Hari sudah lewat. Setiausahaku masih belum menyelesaikan kerjannya. Aku menyuruhnya menghabiskan kerja itu esok. Jam dindingku menandakan masa lapan malam. Aku pun sedia pulang ke rumah. Tiba-tibe, aku ternampak senaskah suratkhabar. Di muka suratkhabar itu, aku ternampak wajah seorang pemuda yang berambut panjang dan kelihatan marah. Wajah itu membawa kenangan kawan lamaku, Ramli.

Ramli dan aku berkawan baik sejak kami menuntut di Sekolah Rendah Opera Estate. Setiap hari, kami akan pulang bersama kerana dia tinggal di blok sebelah blokku. Aku masih ingat. Sebelum pulang ke rumah, kami akan membeli aiskrim dan akan menghabiskannya sebelum kami tiba di rumah kerana tidak mahu ibu kami marah.

Kami berdua tidak berjaya mendapat markah yang baik untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah kami. Oleh kerana itu, kami terpaksa menuntut di sebuah sekolah kejiranan. Di situlah tempat ia semua berubah. Semenjak menengah satu, Ramli mula berkawan dengan murid-murid yang nakal. Dia mula berubah. Dia mewarnakan rambutnya, mendidik telinganya dan sebahagian badannya bertatu. Perubahan itu bukan sahaja secara fizikal. Ramli sering ridak menyelesaikan kerja sekolahnya dan mula gagal dalam peperiksaan. Guru-guruku pun telah berputus asa dan tidak mahu mengajarnya.

Pada suatu hari, dalam pelajaran ke rumah, aku terserempak dengan Ramli dan kawan-kawannya. Mereka menjemputku agar menyertai kumpulan samseng mereka. Aku masih lagi ingat kata-kata Ramli. “Aku beri kau pilihan. Sertai kumpulanku atau keluar dari hidupku.” Di saat itu lah aku membuat keputusan bahawa aku tidak akan menganggap Ramli sebagai kawanku lagi. Lebih baik aki kehilangan seseorang kawan daripada merosakkan masa hadapanku. Sejak hari itu, aku tidak pernah berbual dengan Ramli dan walau apapun yang terjadi, aku tidak menyesal dengan keputusan yeang telah aku ambil. Padaku, itulah pilihan yang terbaik.